Sahabat

Saturday, July 30, 2011

Kem Intensif Takwa


penulis : ummuanas

Melihat kepada ketetapan Allah yang begitu rapi dalam menentukan ibadah sebulan Ramadhan , semestinya kita lakukan tuntutan tersebut dengan disiplin yang tinggi. Disiplin itu terbit jika kita benar-benar berpuasa, kerana puasa itu sendiri akan menerbitkan keupayaan yang luarbiasa;

Mampu bersabar menahan marah

 Mampu bersabar mengatasi rasa malas
< !-- more -- >
Mampu bersabar menjauhi maksiat.

*Lebih-lebih lagi seorang wanita sangat teruji dengan lidahnya; sepanjang berpuasa kita dikehendaki menjauhi mengumpat, fitnah, pertengkaran dan perbalahan. Suasana penuh kepatuhan kepada Allah sebegini dapat memberi kesan mendalam yang dapat menjadikan jiwa luhur dan tulus

Ibnu Qayyim menyatakan, “Puasa mempunyai pengaruh yang menakjubkan dalam memelihara kekuatan fizikal dan kekuatan jiwa. Juga mencegah bercampur-aduknya berbagai bahan makanan yang mengganggu kesihatan. Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan serta membebaskan diri dari pengaruh syahwat. Ini adalah sebesar-besar pertolongan untuk membangun takwa.”

Sememangnya tepat jika bulan Ramadhan disifatkan sebagai kem latihan khusus dan intensif selama sebulan. Kem ini khusus membersihkan setiap diri dari kesan kejahilan. Juga dengan dibukakan pintu rahmat dan dirantaikan syaitan dan iblis, maka terbuka peluang dan kesempatan luas untuk bertaubat. Bukankah ini sebesar-besar keuntungan yang penuh barakah? Juga akan memberikan kita keampunan dan menyelamatkan kita dari seksa api neraka di akhirat kelak? Nauzubillah!

Teman-teman remaja seangkatan!


Sudah semestinya kita selaku wanita Islam yang benar-benar menyedari peranan dan pengaruh kuat kita, mampu membawa seisi keluarga kepada kebaikan di sepanjang bulan Ramadhan. Tambahan pula golongan wanita banyak terlibat mengurus dan mengatur keperluan seisi keluarga. Justru itu, sewajarnya kita memahami dengan jelas tentang tujuan Allah mewajibkan semua hamba-Nya yang bertakwa berpuasa untuk merebut ganjaran yang banyak di samping membina takwa yang teguh.

Berubahlah sekarang!

Ambillah langkah tepat untuk berjaya merebut peluang menjadi mukmin bertakwa yang mampu membawa kebaikan kepada manusia lain. Sedapatnya kita manfaatkan kurniaan usia sepanjang Ramadhan kali ini, kerana kita tidak pasti akan menemui Ramadhan pada tahun berikutnya. Dengan yang demikian kita akan melakukan yang terbaik seakan-akan inilah Ramadhan yang terakhir bagi kita.

Perlu juga diingat, walaupun syaitan sudah dirantai sepanjang sebulan Ramadhan, tetapi hawa nafsu kita tetap berdampingan dengan kita. Hawa nafsu pula selama ini telah didampingi oleh bisikan-bisikan syaitan. Hawa nafsu inilah yang kita usahakan untuk tunduk sepanjang berpuasa dan beribadah pada bulan mulia ini. Dengan berlapar dan dahaga, nafsu akan lebih mudah dikekang. Asal saja kita berusaha intensif mengisi masa dengan aktiviti ibadah. Tidak boleh masa berlalu sia-sia ahnya dengan rehat dan tidur. Malahan tidak boleh dituruti nafsu berangan-angan untuk bersedap-sedap dan berlengah-lengah. Iringi setiap perbuatan kita dengan muhasabah sebelum melakukannya, ketika sedang melakuannya, dan juga selepas melakukannya. Dengan itu setiap langkah kita akan lebih mudah melalui langkah-langkah ketakwaan.

Seterusnya nanti akan sentiasa mampu menyusuri jalan kebenaran. Akhlak kita juga akan sentiasa terampil mulia dan luhur, jauh dari ego dan kesombongan. Terserlah hati yang tulus dalam setiap tindak tanduk. Di situlah bermulanya langkah insan cemerlang sepanjang zaman.

No comments:

Post a Comment