Sahabat

Saturday, July 30, 2011

Kem Intensif Takwa


penulis : ummuanas

Melihat kepada ketetapan Allah yang begitu rapi dalam menentukan ibadah sebulan Ramadhan , semestinya kita lakukan tuntutan tersebut dengan disiplin yang tinggi. Disiplin itu terbit jika kita benar-benar berpuasa, kerana puasa itu sendiri akan menerbitkan keupayaan yang luarbiasa;

Mampu bersabar menahan marah

 Mampu bersabar mengatasi rasa malas
< !-- more -- >
Mampu bersabar menjauhi maksiat.

*Lebih-lebih lagi seorang wanita sangat teruji dengan lidahnya; sepanjang berpuasa kita dikehendaki menjauhi mengumpat, fitnah, pertengkaran dan perbalahan. Suasana penuh kepatuhan kepada Allah sebegini dapat memberi kesan mendalam yang dapat menjadikan jiwa luhur dan tulus

Ibnu Qayyim menyatakan, “Puasa mempunyai pengaruh yang menakjubkan dalam memelihara kekuatan fizikal dan kekuatan jiwa. Juga mencegah bercampur-aduknya berbagai bahan makanan yang mengganggu kesihatan. Puasa memelihara kesihatan hati dan anggota badan serta membebaskan diri dari pengaruh syahwat. Ini adalah sebesar-besar pertolongan untuk membangun takwa.”

Sememangnya tepat jika bulan Ramadhan disifatkan sebagai kem latihan khusus dan intensif selama sebulan. Kem ini khusus membersihkan setiap diri dari kesan kejahilan. Juga dengan dibukakan pintu rahmat dan dirantaikan syaitan dan iblis, maka terbuka peluang dan kesempatan luas untuk bertaubat. Bukankah ini sebesar-besar keuntungan yang penuh barakah? Juga akan memberikan kita keampunan dan menyelamatkan kita dari seksa api neraka di akhirat kelak? Nauzubillah!

Teman-teman remaja seangkatan!


Sudah semestinya kita selaku wanita Islam yang benar-benar menyedari peranan dan pengaruh kuat kita, mampu membawa seisi keluarga kepada kebaikan di sepanjang bulan Ramadhan. Tambahan pula golongan wanita banyak terlibat mengurus dan mengatur keperluan seisi keluarga. Justru itu, sewajarnya kita memahami dengan jelas tentang tujuan Allah mewajibkan semua hamba-Nya yang bertakwa berpuasa untuk merebut ganjaran yang banyak di samping membina takwa yang teguh.

Berubahlah sekarang!

Ambillah langkah tepat untuk berjaya merebut peluang menjadi mukmin bertakwa yang mampu membawa kebaikan kepada manusia lain. Sedapatnya kita manfaatkan kurniaan usia sepanjang Ramadhan kali ini, kerana kita tidak pasti akan menemui Ramadhan pada tahun berikutnya. Dengan yang demikian kita akan melakukan yang terbaik seakan-akan inilah Ramadhan yang terakhir bagi kita.

Perlu juga diingat, walaupun syaitan sudah dirantai sepanjang sebulan Ramadhan, tetapi hawa nafsu kita tetap berdampingan dengan kita. Hawa nafsu pula selama ini telah didampingi oleh bisikan-bisikan syaitan. Hawa nafsu inilah yang kita usahakan untuk tunduk sepanjang berpuasa dan beribadah pada bulan mulia ini. Dengan berlapar dan dahaga, nafsu akan lebih mudah dikekang. Asal saja kita berusaha intensif mengisi masa dengan aktiviti ibadah. Tidak boleh masa berlalu sia-sia ahnya dengan rehat dan tidur. Malahan tidak boleh dituruti nafsu berangan-angan untuk bersedap-sedap dan berlengah-lengah. Iringi setiap perbuatan kita dengan muhasabah sebelum melakukannya, ketika sedang melakuannya, dan juga selepas melakukannya. Dengan itu setiap langkah kita akan lebih mudah melalui langkah-langkah ketakwaan.

Seterusnya nanti akan sentiasa mampu menyusuri jalan kebenaran. Akhlak kita juga akan sentiasa terampil mulia dan luhur, jauh dari ego dan kesombongan. Terserlah hati yang tulus dalam setiap tindak tanduk. Di situlah bermulanya langkah insan cemerlang sepanjang zaman.

Wednesday, July 20, 2011

Himmah : Berlumba-lumba menjadi selebriti Syurga!

Selebriti syurga : Tidak terkenal di kalangan penghuni bumi, tetapi tersohor di kalangan penghuni langit.

Dilimpahi kemewahan, kekayaan dan kesenangan yang mengiurkan hati.
Hati senang, jiwa lapang dan kehidupan kian berkembang!

Betulkah anggapan saya ini?
Jika tidak, tidak ramailah manusia  berpusu-pusu, berebut-rebut dan berlumba-lumba untuk menyertai pelbagai pertandingan ala-ala rancangan realiti televisyen yang kian bercambah di dunia penyiaran hari ini.
Jika tidak, tidak bersesak-sesaklah  anak-anak muda sama ada lelaki ataupun perempuan beratur dan berbaris berjam-jam untuk “mencuba” nasib di dalam ujian bakat yang diadakan di seluruh negara.
Jika tidak, tidak adalah yang sanggup berhabisan wang, tenaga, masa dan segala-galanya datang dari pelbagai tempat pendalaman dan sebagainya hanya kerana ingin megikuti ujian saringan dalam mencari selebriti-selebriti dunia hiburan dan sebagainya.

Dunia selebriti yang dicari-cari

Dunia selebriti sememangnya menjadi dambaan sekalian ramai orang. Bahkan saya yakin, anda juga terdetik untuk menjadi selebriti?
Selebriti yang tidak terbatas hanya kepada dunia artis sahaja. Tetapi, dunia yang meliputi semua bidang kehidupan. Ia membawa seseorang itu kepada dunia yang akan membuatkan dirinya –  mendapat perhatian dan menjadi sebutan di mana-mana.

Menjadi pemain bola sepak. Itu juga selebriti.
Menjadi ketua pengawas. Ketua organisasi atau jawatan dalam sesuatu persatuan. Ala-ala selebriti.
Menjadi penceramah yang terkenal yang diminati ramai orang.
Menjadi ikon masyarakat. Itu juga selebriti.
Menjadi pemimpin masyarakat. Disegani dan dihormati.
Menjadi pelakon, artis dan pengacara televisyen. Itu juga selebriti.
Menjadi penulis skrip, lirik, novelis dan sastera. Itu juga tokoh selebriti.

Teringat saya kata-kata seorang pendakwah terkenal Indonesia, Pak Agym :

“Hari ini ramai orang ingin menjadi BINTANG. Mahukah anda menjadi BINTANG? Bukan di pentas, bukan di televisyen tetapi di hadapan Allah.”

Semua orang punyai keinginan dan kemahuan jadi selebriti. Menjadi bintang atau selebriti itu kan kebanggaan keluarga? Disanjung dan dipuja orang. Seperti bintang-bintang Akademik Fantasia  yang digilai oleh anak-anak muda malah ‘nenek-nenek muda’!

Tetapi menjadi selebriti  di dunia hanyalah bersifat sementara. Hilang kecantikan, kemahiran, bakat  atau ketampanan di wajah atau kelunakan suara, selebriti tersebut akan dilupakan orang. Atau lahir selebriti  baru yang lebih hebat, perhatian tidak tertumpu lagi kepada selebriti  lama. Itulah dunia, pasang surutnya.

Namun, apabila kita menjadi  selebriti di mata Allah, kepopularan kita tidak akan hilang selagi kita mengekalkan prestasi kita. Tidak kira berapa banyak selebriti  baru muncul atau semakin usia kita meningkat, kita akan tetap menjadi  selebriti Allah. Kita tetap mendapat perhatian, terkenal dan disanjung.

Sanjungan itu bukan dikalangan penghuni bumi, tetapi mendapat sanjungan, pujian dan penghargaan daripada penghuni langit. Tidak terkenal dikalangan ahli-ahli dunia tetapi cukup hebat dan terkenal dikalangan ahli-ahli langit.

Bagaimana mahu menjadi selebriti  di hadapan Allah?

Selebriti di sisi Allah SWT, terkenal di langit tinggi mendapat pengiktirafan yang istimewa.

Itulah selebriti Syurga. Ia umpama Very Very Important Person (VVIP) yang akan mendiami jannah yang sangat indah lagi mempesona. MasyaAllah.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda :

“ Siapa pun yang memasuki syurga, maka ia akan merasakan kenikmatan dan tidak akan menderita. Pakaiannya tidak akan lusuh dan masa mudanya tidak akan habis. Di syurga terdapat hal-hal yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga dan tidak pernah terlintas di benak fikiran manusia.”
( HR Muslim dan Ahmad)

Selebriti  di sisi Allah SWT – ia bergemerlapan dengan sinar cahaya keimanan, wajahnya putih berseri kesan daripada air wudhuk serta kerap sujud menyembah Allah SWT, berprestasi dengan amal-amal nyata yang cemerlang, penuh kesungguhan dalam beramal, konsisten dalam memperkasakan medan dakwah dan sentiasa memelihara kebersihan, kejernihan & kesejahteraan hati.



Sirah Sang Penghuni Langit : Selebriti di sisi Allah SWT
Saya ingin berkongsi sebuah kisah sirah yang menarik. Kisah seorang tabi’in pada zaman Rasulullah SAW yang tidak pernah berjumpa Rasulullah SAW tetapi, baginda mengiktirafnya sebagai seorang sahabat.

Namanya cukup cantik dan indah didengar.

“Uwais al-Qarni”

Itulah namanya.

Seorang pemuda yang bermata biru, rambutnya merah, berpenampilan cukup segak, kulitnya kemerah-merahan, fakir miskin, ahli Al-Quran dan selalu menangis, tiada orang pun yang peduli atau menghiraukan tentang dirinya ketika hidup : tidak terkenal di kalangan penghuni bumi akan tetapi sangat terkenal di kalangan penghuni langit.

Uwais adalah pemuda yang berasal dari Yaman. Ketika, tersebarnya ajaran Islam di tanah Arab – beliau begitu terpesona dengan keindahan dan keadilan Islam. Inilah deen dan cara hidup yang dikehendakinya. Sinar kebenaran yang akan menyinar kegelapan dunia jahiliyah. Ketika, ajaran Islam sampai di Yaman, Uwais tanpa berlengah terus beriman dengan Rasulullah SAW dan beriktikad bahawa Allah SWT adalah Rabb-Nya.

Ramai di kalangan jiran tetangganya yang memeluk Islam pergi ke Madinah untuk bertemu Rasulullah SAW untuk bertemu secara langsung dengan baginda. Mereka mempelajari cara hidup Islam dan apabila pulangnya ke Yaman – cara hidup mereka telah berubah : hidup sebagai seorang muslim!

“ Cemburu”, itulah yang dirasai oleh Uwais.

Kehangatan kecintaan dan kerinduaan beliau kepada baginda Rasulullah SAW semakin membuak-buak. Hajat sungguh, lalu beliau bertekad untuk bertemu baginda. Beliau memiliki seorang ibu yang uzur dan berusia. Setiap hari, segala keperluan dan urusan peribadi ibunya, beliau yang mengambil tanggungjawab dengan penuh suka, rela dan gembira.

Beliau sangat menghormati dan menjaga ibunya dengan jagaan yang baik. Kerana perasaan yang rindu yang bersangatan untuk bertemu dengan akhirnya pada suatu hari Uwais mendekati ibunya, mengeluarkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan pergi menziarahi Nabi SAW di Madinah. Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permintaan anaknya. Beliau memaklumi perasaan Uwais, dan berkata :

“Pergilah wahai anakku ! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan bila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang”.

Uwais mengucapkan terima kasih kepada ibunya, lantas dipersiapkan barangan untuk ibunya yang mencukupi disepanjang peninggalannya.

Sesudah itu setelah menciumi sang ibu, berangkatlah Uwais menuju Madinah yang jaraknya lebih  kurang empat ratus kilometer dari Yaman. Padang pasir  yang begitu ganas dilaluinya, tak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari, semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi SAW yang selama ini dirindukannya. Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah.

Ketika berada dihadap pintu rumah Rasulullah SAW, isteri baginda Sayyidatina ‘Aisyah RA memaklumkan  tiada di rumah kerana sedang berada di medan perang. Namun, dengan ketetapan dan keizinan Allah SWT – beliau tidak berpeluang bertemu dan menatap wajah Rasulullah SAW secara bersemuka. Beliau menunggu dengan penuh kesabaran.Namun, suatu hari beliau menerima berita dari Yaman bahawa ibunya sakit tenat. Maka, dengan perasaan yang berat Uwais meninggalkan

Sepulangnya dari perang, Nabi SAW langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahwa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit).

Mendengar perkataan baginda Rasulullah SAW, sayyidatina ‘Aisyah RA dan para sahabatnya terpegun. Menurut makna sayyidatina ‘Aisyah RA, memang benar ada yang mencari Nabi SAW dan segera pulang kembali ke Yaman, karena ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rosulullah SAW bersabda : “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.” Sesudah itu baginda SAW, memandang kepada sayyidina Ali RA dan sayyidina Umar RA dan bersabda : “Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah do’a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi”.

Wah! Inilah kisah yang sangat luar biasa. Uwais al-Qarni, apabila menadah tangan dan berdoa, insyaAllah permintaannya akan dikabulkan oleh Allah SWT. MasyaAllah – tentunya beliau bukanlah manusia biasa.

Akhir hayat yang aneh dan mengejutkan

Dan, di saat akhir hayatnya – berlaku banyak perkara-perkara yang aneh. Setelah meninggal dunia, jenazahnya telah diuruskan oleh jumlah orang yang sangat ramai yang tidak dikenali oleh penduduk kampunganya.

Sedemikian banyaknya orang yang tidak dikenal muncul  untuk mengurus jenazah dan perkuburannya , padahal Uwais adalah seorang fakir yang tak dihiraukan orang. Sejak ia dimandikan sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah bersiap siaga  melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.

Mereka saling bertanya-tanya :

“Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni ?

Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya hanyalah sebagai penggembala domba dan unta ?

Tapi, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenal. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya. Agaknya mereka adalah para malaikat yang di turunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya.

Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa “Uwais al-Qarni” ternyata ia tak terkenal di bumi tapi terkenal di langit.

Prasyarat menjadi selebriti syurga

Saya tersentuh apabila membaca kisah Uwais al-Qarni. MasyaAllah, beliau adalah seorang yang sederhana, fakir miskin, tawadhuk, solat, warak dan berhati mulia. Tentunya beliau mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Inilah selebriti syurga contoh yang harus diteladani dan diikuti.

Seharusnya kita, mencontohi selebriti sebegini. Tidak perlu terkenal di dunia yang fana ini. Tetapi, di sisi Allah SWT mendapat darjat dan martabat yang tinggi.

Allah SWT pandang kepadanya. Tentunya, untuk menjadi calon selebriti syurga – kita harus menepati syarat-syaratnya.

Saya teringat suatu tazkirah oleh Murabbi saya :

“ Untuk menjadi ahli syurga kita harus zero dosa!”

Ahli syurga tiada langsung dosa yang tercalit padanya. Taubat menjadi suatu kemestian dan kewajipan yang dilakukan saban hari agar segala dosanya tersirna dan terhapus. Itulah hakikatnya, segala kesalahan, keaiban, dosa-dosanya dan nodanya telah terhapus dengan segala usaha amal ibadah.

Inilah istimewanya untuk menjadi calon selebriti syurga. Hidupnya dipenuhi dengan amalan soleh yang mendekatkan jiwa dan hatinya terhadap Allah SWT.  Ada sesuatu yang perlu kita gerakan untuk menjadi selebriti syurga.
Marilah kita perbaharui taubat dan istighfar kita setiap masa!

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Setiap anak Adam mempunyai kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan ialah orang-orang yang bertaubat.”
( Hadis Riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ad-Darimi)

Al-Fudhail Bin Iyadh berkata : “ Beristighfar tanpa meninggalkan perbuatan dosa ialah taubatnya para pendusta.”

Sayyidan Aisyah RA berkata, “ Beruntunglah orang yang mendapat dalam lembaran catatanya istighfar yang banyak.”

Hassan al-Basri berkata, “ Perbanyakanlah beristighfar di rumah-rumah kalian, di meja-meja makan kalian, di jalan-jalan kalian, di pasar-pasar kalian,  dan di majlis-majlis ilmu kalian! Sebab, kalian tidak tahu bila keampunan itu akan turun.”