Sahabat

Wednesday, May 25, 2011

pesan si tua untuk si muda

Suatu ketika dahulu, seorang lelaki tua yang terlantar sakit memanggil dua orang anaknya. Dia berpesan kepada kedua-dua anak lelakinya itu supaya menjaga perniagaan yang bakal ditinggalkannya nanti dengan baik. "Anak-anak ayah... bila ayah sudah tiada nanti, kamu amalkan dua pesanan ayah ini. Pertama, jangan sesekali menagih hutang dengan orang yang berhutang dengan kamu. Kedua, apabila hendak pergi dan balik dari kedai, jangan sekali-kali benarkan dirimu terkena cahaya matahari. Amalkan dua pesanan ayah ini, nanti perniagaan kamu akn berjaya,"pesan lelaki tua itu.
Selepas lelaki tua itu meniggal dunia, perniagaan dan kedai diuruskan oleh kedua anak lelakinya. Mereka menuruti pesanan arwah ayah mereka. Anehnya selepas setahun, perniagaan anak yang bongsu jatuh merudum. Sebaliknya pula perniagaan si abang yang bertambah besar dan maju.

Kenapakah perniagaan si adik jatuh merudum..??? Apakah dia tak turuti pesanan arwah ayahnya??..

"Saya tak pernah menagih hutang dengan orang yang berhutang dengan saya. Tapi masalahnya mereka tak bayar pun hutang-hutang mereka. Hutang sudah terlalu banyak sampai saya kehabisan modal.
"Untuk mengelak daripada terkena cahaya matahari, setiap hari saya juga terpaksa keluarkan duit tambahan untuk tambang beca ke kedai." kata si adik..

Bagaimana  pula dengan perniagaan si abang yang bertambah maju??..

Jawab si abang,"Bila ayah kata jangan tagih hutang daripada orang yang berhutang dengan kita, maka saya buat keputusan semua urusan perniagaan mesti dibayar tunai. Tidak boleh hutang. Hasilnya modal saya bertambah dan perniagaan saya berjalan lancar. Kemudian, disebabkan ayah kata jangan benarkan diri terkena cahaya matahari semasa pergi dan balik, maka saya pergi kerja sebelum matahari terbit dan pulang bila matahari terbenam. Ayah memang bijak, pelanggan saya makin hari makin ramai sebab kedai saya dibuka paling awal dan ditutup paling lewat."


Ternyata si abang dapat membaca maksud disebalik pesanan arwah ayahnya.
dan sesungguhnya orang tua tinggi akalnya, tahu asam garam dunia dan juga sering menguji kita dengan cara yang tak diduga. Tetapi orang muda sering melihat pesanan orang tua pada satu lapisan saja. Kerana itu orang muda yang berjaya adalah mereka yang mendengar nasihat orang tua dan bijak membaca ketinggian akal mereka.

No comments:

Post a Comment