Sahabat

Tuesday, June 28, 2011

Isra' Mikraj : Ibrah Keimanan Buat Diri



Nukilan: tinninun islam

Saban tahun pada 27 Rejab, pelbagai sambutan diadakan sempena mengingati peristiwa besar yang pernah dialami oleh Nabi s.a.w.

Kadang diisi dengan ceramah, kadang diisi dengan tazkirah-tazkirah, kadang juga diisi dengan malam-malam sambutan.

Peristiwa yang cukup sinonim dengan kita. Peristiwa apakah itu?

ISRA’ dan MIKRAJ.

Ya. Memang saban tahun diadakan sambutan.

Namun, sebesar manakah kesan sambutan Isra’ dan Mikraj itu ke atas iman kita sepertimana besarnya kesan Isra’ dan Mikraj itu sendiri kepada gerak kerja dakwah Rasul s.a.w.?

Isra’ yang membawa Nabi dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dan Mikraj yang mengangkat Nabi ke langit untuk bertemu Allah, ia merupakan peristiwa yang cukup besar dalam sejarah perkembangan dakwah Islam.

Meskipun menjadi bahan cercaan dan permainan kaum musyrikin, namun ia tidak sekalipun menghentikan kesungguhan dan semangat Nabi s.a.w.

Di mana rahsianya?


ISRA’ DAN MIKRAJ : DORONGAN UNTUK BANGUN DAN MENERUSKAN LANGKAHAN!

Dua peristiwa besar telah berlaku sebelum berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Ia hakikatnya peristiwa yang sangat menguji jiwa insani. Siapapun yang diuji demikian, pasti akan tersentuh jiwa kemanusiaannya.

Rasa sedih, dukacita, kepayahan, kesusahan dan sebagainya.

Namun, Allah Maha Agung. Ia tidak pernah meninggalkan orang yang bekerja di jalan-Nya tinggal keseorangan dalam kesedihan.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj merawat hati Nabi setelah diuji dengan dua peristiwa yang cukup menggetirkan ini.

Baginda terus bersemangat dan gencar dalam menggerakkan dakwah Islam.

Peristiwa apakah itu?

PERISTIWA PERTAMA : TAHUN DUKACITA

Nabi telah kehilangan dua orang yang paling disayangi dalam kehidupannya.

Isterinya sendiri, Ummul Mukminin Saidatina Khadijah telah pergi meninggalkan beliau. Isteri yang banyak menyokong dan mendokong perjuangan dakwah bersama baginda. Isteri yang sekian lama menjadi benteng kekuatan saat kelemahan. Isteri yang pernah menyelimutkan baginda saat dilanda keresahan ketika kali pertama turunnya wahyu.

Ya. Beliau telah pergi. Pergi untuk selama-lamanya.

Bahkan, ditambah lagi dengan pemergian bapa saudaranya, Abu Talib yang menjadi tulang belakang gerak kerjanya di Makkah.

Abu Talib, bapa saudara baginda yang sentiasa mempertahankan baginda. Biar dalam keadaan apa sekalipun, diancam, diugut, Abu Talib menjadi pelindung.

Abu Talib, insan yang banyak menyokong dan melindungi Nabi s.a.w., akhirnya pergi dalam keadaan tidak mengucapkan dua kalimah syahadah.

Sedihnya hati Nabi sudah tidak terkata lagi. Bapa saudara sendiri yang sejak kecil membelanya akhirnya mati bukan di jalan Islam.

Kehilangan dua orang ini mengakibatkan orang-orang musyrikin semakin ghairah untuk mengambil kesempatan dan mengancam Nabi s.a.w.

PERISTIWA KEDUA : DAKWAH YANG DITOLAK DI TAIF

Ingatkah lagi pada peristiwa Nabi dilontarkan dan dibaling dengan batu oleh hamba-hamba abdi, khadam dan kanak-kanak nakal di Taif?

Ketika mana berdarah kedua-dua kaki Nabi dilontar dengan batu, Zaid bin Harithah yang bersama dengan Nabi turut mengalami kecederaan hingga berdarah kepalanya kerana cuba melindungi Nabi s.a.w.

Dalam satu hadith yang diceritakan Aisyah r.anha., satu ketika Aisyah pernah bertanya kepada Rasul s.a.w. :

“Wahai Rasulullah, pernahkah engkau merasa lebih pahit dan sengsara dari hari Uhud?”

Jawab baginda : “Bahkan, iaitu ketika menghadapi bangsa kau (Arab) dan yang paling dahsyat sekali ialah ketika aku memperkenalkan diriku dan berdakwah di kalangan puak Ibn Yalil Abdi Kalal di mana tawaran dan dakwahku tadi tidak diterima langsung dan aku beredar dari situ dengan perasaan yang tak keruan. Bila sampai ke suatu tempat bernama Qiran Tha’alib, baru aku sedar, aku mengangkat kepala melihat ke atas, tiba-tiba sekumpulan awan meneduhiku dan aku nampak Jibril alaihissalam memanggilku dan berkata:

“Sesungguhnya Allah azzawajalla telah mendengar setiap perkataan bangsa kau dan tindakan mereka terhadap kau. Dan Allah telah mengutuskan Malaikat segala gunung untuk kau.”

“Suruhlah sekehendakmu.” Kata Rasulullah lagi.
Malaikat segala gunung tadi memanggil dan memberi salam kepadaku dan katanya:


“Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perihal kaummu dan tindak balas mereka terhadap seruanmu. Aku ini malaikat segala gunung diutuskan oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa saja, untuk apa yang engkau mahu. Kalau mahu, aku boleh hempap ke atas mereka Bukit Al-Akhsyabin.”

Jawab Rasulullah : “ Tapi apa yang aku harapkan agar lahir dari keturunan mereka golongan yang menyembah Allah tanpa mensyirikkan-Nya.”

[HR Bukhari dan Muslim]


Dua peristiwa yang berlaku sebelum Isra’ dan Mikraj ini hakikatnya merupakan tamparan hebat bagi seorang yang memiliki jiwa kemanusiaan. Meskipun ia seorang Nabi, mahupun pendakwah sekalipun.

Kehilangan insan kesayangan dan dakwah ditolak dengan begitu teruk sekali, merupakan musibah yang menguji kesabaran dan kecekalan.

Kata Said Ramadhan Al-Buti dalam kitabnya Fiqh Sirah:

“Selepas itu disusuli dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad s.a.w. untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh Rasulullah bukanlah suatu angkara murka dari Allah…”

Itu adalah dua peristiwa yang berlaku sebelum Isra’ dan Mikraj.
Dakwah Nabi s.a.w. semakin gencar setelah menerima ‘pujukan’ dan‘dorongan’ melalui peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Selepas peristiwa besar yang menjadi bahan tawa musyrikin Makkah itu, dakwah semakin berkembang ke Madinah. Perjanjian Aqabah Pertama telah menyaksikan sekitar 12 orang dari Madinah telah beriman dan membaiat Rasul s.a.w.


ISRA’ DAN MIKRAJ : PEMBANGUN JIWA SALAHUDDIN !

Isra’ dan Mikraj telah ditakdirkan berlaku melibatkan dua masjid yang mulia. Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Palestin.

Allah tidak akan menetapkan suatu perkara itu berlaku begitu sahaja jika tidak ada pengajaran atau ibrah daripadanya.

Peristiwa Isra’ ini telah memberi isyarat bahawa Palestin dan Masjid Al-Aqsa adalah berkait rapat dengan keimanan kita.

Kerana peristiwa Isra’ Mikraj ini adalah peristiwa yang hanya boleh diyakini dengan iman.

Jika difikirkan logik akal, memang tidak masuk akal sekali orang dapat pergi ke Masjdil Aqsa dari Masjidil Haram dalam hanya satu malam dan kembali semula sebelum Subuh. Tambahan pula, zaman Nabi s.a.w. belum wujud kapal terbang atau jet dan sebagainya.

Tetapi, hanya IMAN yang dapat membenarkan semua ini  bahawa Nabi s.a.w. benar-benar dibawa naik ke langit untuk bertemu Allah bagi menerima perintah solat dalam peristiwa Isra’ Mikraj.

Jadi, tanah Palestin dan Masjidil Aqsa berkait rapat dengan keimanan kita. Dan itu jugalah yang menjadi motivasi pembangun jiwa seorang panglima.

Panglima yang cukup sinonim. Salahuddin Al-Ayubi.

Motivasi dari peristiwa Isra menggerakkan jiwanya untuk bangun dan menyeru kaum muslimin supaya menentang dan menghalau musuh salibi durjana dari tanah Palestin.

Lalu, masih adakah Salahuddin Al-Ayubi lagi pada hari ini yang terinspirasi dari peristiwa Isra’ ini?


PENUTUP : MIKRAJ HAMBA MENUJU MULIA

Nabi s.a.w. dimikrajkan jasad dan roh baginda dalam peristiwa itu.

Kita hari ini tidak mungkin mengalami peristiwa itu lagi.

Namun, kita mampu untuk ‘MIKRAJ’ juga.

Perintah solat yang Nabi terima ‘direct’ dari Allah s.w.t. menunjukkan akan ketinggian nilai solat itu sendiri,  dan kita mampu ber‘MIKRAJ’melalui solat kita untuk bertemu Allah.

‘MIKRAJ’kan roh kita saat kita solat. Pasti kita akan menemui titik perubahan yang sangat menakjubkan!

Hanya solat sahaja yang diperintahkan ‘direct’ melalui pertemuan Nabi s.a.w. dengan Allah Taala.

Perintah-perintah lain seperti puasa, haji dan sebagainya semua melalui wahyu.

Masyarakat yang meninggalkan solat masyarakat yang rosak. Biar setara mana sekalipun kemajuan dicapai, tetapi ia tidak memiliki apa-apa nilai di hadapan Allah kelak.

Orang yang solatnya kosong tanpa penghayatan, maka ia kerugian juga.

Solat itu sumber tenaga jiwa sebenarnya, kerana ia memiliki nilai yang sama dengan Isra’ Mikraj yang mengecas semula tenaga jiwa kepada Nabi s.a.w. untuk terus gencar dalam dakwah, kerana ia diperintah ‘direct’ dari atas langit.

Justeru, tingginya nilai solat menyebabkan wujud dalamnya hikmah untuk sesiapa sahaja yang inginkan perubahan dalam dirinya ke arah yang lebih baik.

Titik perubahan untuk maju ke hadapan bermula dari baiknya hubungan kita dengan Allah. Maju ke hadapan dalam nilaian IMAN adalah kita semakin dekat dengan Allah s.w.t. dalam apa jua yang kita lakukan.

Kita pula, setakat mana Isra’ Mikraj memberi impak dalam diari KEIMANAN kita?

Muhasabah diri.

Monday, June 20, 2011

~ Korban Cinta Balasannya Syurga ~

Cinta yang kamu faham bagaimana?


Petang itu cuaca agak mendung. Awan-awan hitam mundar-mandir di dada langit. Memberi petanda awal buat penduduk berdekatan yang bumi akan disimbah hujan. Burung-burung yang dari tadi bising dengan nyanyian sudah pulang ke teratak masing-masing. Berkata mereka di dalam hati, tidur ketika itu adalah waktu yang sangat menyelerakan. 

Angin yang pada asalnya hanya sepoi-sepoi bahasa bertukar kepada deruan udara yang laju. Deras membelah langit. Hingga menerbangkan beberapa ekor semut yang sedang bersiar-siar di laman dapur restoran. Lalu, menangislah sang anak apabila melihat sang bapa terapung-apung dibawa angin.

Dalam pada itu, kebanyakan kedai makan sudah mula berkemas. Melakukan persediaan awal sebelum hujan lebat membasahi. 

Namun, di penjuru restoran tersebut masih bersantai dua orang jejaka idaman. Berborak itu dan ini, bergurau canda ibarat dunia aku yang punya. Masing-masing tidak hairan dengan cuaca yang sudah semakin gelap dek tutupan awan hitam yang gebu tersusun rapi. Sepertinya mereka ini sedang membincangkan sesuatu yang serius bahkan diselik juga gurau-canda yang akhirnya gelak ketawa yang mengisi ruangan.

Comel giler. Tetapi kau kata buruk?

"Eh, kau tahu aku tengok awek tu cun giler. Memang berkenanla aku tengok muka dia. Tambah-tambah bila dia senyum kat aku tadi. Peerggh.. mcm nak rak ar jantung aku ni." Adu Amran kepada Nabil bersungguh.

"Sapa dia awek tu? Aku kenal tak? Cita sikit. Aku nak kenal gak." Nabil mengaju soalan tanda meraikan temannya. Tetapi monolog dalamannya berbicara sendiri. Siapala gadis yang malang itu.

"Ala. Kau ingat tak yang aku angkat tangan kat dia tadi. Pastu dia senyum-senyum kat aku. Yang tu la. Lagi pun aku tengok dia tu tak la teruk sangat perangai. Boleh makan samanla." Amran melemparkan pandangannya ke luar restoran. Sambil memerhatikan renyai-renyai hujan membasahi jalan.

"Hah! Wei kau biar batul. Perempuan yang hitam tu? Mana sesuai dengan kau. Kau putih dia hitam, bikin jadi taik cicak aku tengok korang berdua ni nanti. Hahaha." Gelak. Tidak tertahan Nabil apabila melihat citarasa temannya yang meminati perempuan berkulit hitam.

"Apa kau ni? Hitam ar comel. Nampak sexy bro. Kau apa tahu? Kau pun takde orang yang minat. Sedap je gelakkan aku. Bukan nak sokong member-member." Muka lima puluh sen Amran ditarik menjadi muka sepuluh sen apabila citarasanya dipermainkan.

" Ok-ok. Aku bukan tak sokong. Tapi aku rasa awek tu tak secocokla. Rugi bro kalau kau minat perempuan macam tu. Kau ada rupa. Hensem pun hensem. Kaya lagi. Hidup berstyle. Perempuan tu? Dahla bertudung macam ustazah. Hitam. Kelat. Pekat. Dari pelusuk Nigeria manala dia boleh tersesat kat sini. Eee.. tak kuasa aku melayan." Gerakan badan Nabil seperti lipas kudung membuatkan Amran tergelak sendiri.

"Hahahaha. Lepak ar bil.. Gelabah apesal? Itu kata kau. Ni, kata hati aku ni dah jatuh cinta. Selama aku hidup, belum pernah aku jumpa awek semanis dia. Mana la tau kalau-kalau ada rezeki satu hari kami dipersatukan. Hahaha." 

Mereka berdua tergelak serentak apabila Amran mengakhirkan kata-katanya yang agak mustahil di mata Nabil. Sungguh pun ia hanya angan-angan yang tidak berpenghujung cita-cita.

Korban cinta. Andai tidak, ia pasti buta.

Ya. Rata-rata yang terjadi kepada kita apabila mengambil cinta dunia melebihi cinta kita kepada Allah. Akhirnya jadilah seperti mereka yang dikejar tak dapat, yang dikindong berciciran. Apa yang dikejar tak dapat? Dan apa pula yang dikindong berciciran?

Korban cinta. Andai tidak, ia pasti buta. Bagaimanakah?


Saya bawakan ini sebagai jawapan. Pastikan anda tidak terlepas menontonnya. Diskusinya panjang. Tetapi saya yakin ia tidak merugikan.


Terima kasih atas kesudian meluangkan masa di sini. Menonton dengan tekun dan sabar. Mudah-mudahan Allah redha dengan cinta kita yang berputik atas dasar kasih dan sayang padaNya.

Salam cinta dari saya,


Friday, June 3, 2011

Ke Marilah, Rabbmu Menunggumu !


Penulis:PENYEJUK JIWA


Kecintaan Allah itu terlalu besar. Tiada tandingannya.

Siapa sahaja yang memiliki kecintaan Allah, maka dia telah menembusi syurga dunia.

Besarnya kecintaan Allah menyebabkan Allah menangguhkan balasan baik dan buruk untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. ketika di dunia.


Besarnya kasih Allah kepada kita menyebabkan Allah membuka peluang beramal dan melapangkan pintu taubat untuk manusia hinggalah menjelmanya tanda-tanda kiamat.

Adakah yang mampu menandingi Allah, sehingga sanggup menganugerahkan CINTA sebesar itu kepada kita?

Saya sangat-sangat pasti tidak ada.

Manusia bila kasihkan kepada seseorang, kalau orang itu tersilap sedikitpun, paling tidak pasti sudah mengguris hatinya. Meskipun tidak terukir kemarahan di wajah, tetapi dalam hati tetap menahan perasaan.

Itu manusia. Terhadnya cinta manusia.

Tetapi cinta Allah ini, Maha Luas tiada tandingannya.

Justeru, sangat-sangat tidak patut bagi orang-orang yang berdosa, melakukan kesalahan untuk mengatakan :

“Ah, sudah tidak ada harapan lagi bagi aku. Aku dah buat dosa yang sangat besar. Tuhan pun takkan ampunkan aku.”

Berputus asa dari rahmat-Nya? Tidak. Orang yang tidak pandai memanfaatkan peluang sahaja akan mengabaikan cinta Allah yang terlalu besar ini.


BESAR MANAPUN DOSAMU, BESAR LAGI KEAMPUNAN ALLAH SELAGI ENGKAU TIDAK SEKUTUKANNYA


Saya suka kongsikan satu maksud hadis yang menceritakan tentang besarnya keampunan yang Allah hendak beri ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya bermaksud:

“Dahulu pada zaman sebelum kalian ada seorang yang membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lantas ia bertanya tentang seorang yang paling alim di muka bumi ini, maka ditunjukkanklah seorang pendeta (ahli ibadah).

 Ia datangi pendeta tersebut kemudian berkata bahawa ia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah Allah menerima taubatnya?

Pendeta tersebut menjawab, “Tidak!”  Maka ia pun membunuh pendeta tersebut hingga genaplah 100 orang dibunuhnya.

Kemudian ia bertanya kembali tentang orang yang paling alim di muka bumi ini. Maka ditunjukkan kepadanya seorang alim.

Dikatakan kepadanya bahawa ia telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah Allah akan menerima taubatnya?

Dia menjawab : “Ya, siapa yang menghalangi antara dirinya dengan taubat? Berangkatlah menuju ke tempat ini dan ini kerana di sana ada manusia yang beribadah kepada Allah, lantas beribadahlah kepada Allah bersama mereka. Jangan kembali ke tempat tinggalmu semula kerana itu adalah tempat yang buruk.”

Maka ia pun berangkat sehingga sampai di pertengahan jalan, ajal menjemputnya. Terjadilah perdebatan antara Malaikat Rahmat dengan Malaikat Azab.

Malaikat Rahmat berkata, “Ia telah datang dalam keadaan bertaubat dan mennghadap kepada Allah dengan hatinya.”

Malaikat Azab pula berkata, “Namun, ia belum pernah berbuat kebaikan sedikitpun.”

Maka datanglah malaikat lain untuk mengadili antara mereka berdua. Ia berkata, “Ukurlah jarak antara dua tempat tersebut, mana yang lebih dekat, maka itulah baginya.”

Kedua-dua malaikat itu pun mengukur tempat tersebut, ternyata tempat yang hendak dituju itu lebih dekat dari kampung asalnya. Akhirnya, orang tersebut dibawa oleh malaikat rahmat.”(Muttafaq Alaih)


MANIFESTASI KASIH ALLAH DALAM HARAPAN INSAN

Dalam riwayat lain sebenarnya dinyatakan, 


“Maka Allah telah mewahyukan kepada tempat tersebut (kampung asal) untuk menjauh dan kepada tempat ini (yang hendak dituju) untuk mendekat. Kemudian Dia berfirman,“Ukurlah antara keduanya.” Ternyata mereka mendapati tempat yang hendak dituju dekat satu jengkal hingga akhirnya Allah mengampuni orang tersebut.”

Sungguh-sungguh benar Allah sentiasa menunggu hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya.

Dalam satu hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud:

“….barangsiapa yang mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya satu hasta. Barangsiapa yang mendekati-Ku satu hasta, maka Aku akan dekatinya satu depa. Dan barangsiapa yang datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari…”

Bayangkanlah setinggi itu kasih dan cinta Allah supaya kita memperoleh keampunan-Nya!

Lalu, masih adakah alasan untuk kita menangguhkan taubat hari ini?

Kita datang kepada Allah dengan berjalan, tetapi Allah BERLARIkepada kita!

Dalam satu hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda yang mafhumnya bermaksud:


“Sesungguhnya Allah s.w.t. membentangkan tangan-Nya pada malam hari agar orang yang berbuat dosa di siang hari bertaubat kepada-Nya. Dia juga membentangkan tangan-Nya pada siang hari agar orang yang berbuat dosa pada malam harinya bertaubat kepada-Nya sehinggalah Matahari terbit dari sebelah barat.”

Allah yang Maha Agung, tidak pernah meletakkan pembatas (gap) antara kita dengan Dia.

Dia itu Rabb yang Maha Agung, Maha Kuasa memiliki segala-galanya di alam ini.
Tetapi, Dia tetap memberi ruang untuk kita, hamba-Nya yang lemah dan tidak punya apa-apa ini untuk bersama-Nya, memohon keampunan-Nya.

Dia ‘merendahkan’ diri supaya kita boleh bersama dengan-Nya.
Dia tetap tidak pernah putus asa supaya kita kembali kepada-Nya.

Lalu, tidak malukah kita jika kita sendiri yang meletakkan pembatas (gap) pada kecintaan sebesar itu dengan menjarakkan diri kita daripada-Nya?


PENUTUP : HAI HAMBA-KU,  KE MARILAH !

Barangkali ada yang pernah berkata:

“Dosa aku terlalu besar. Tak mungkin Tuhan ampunkan aku.”

“Aku dah buat dosa orang lain tak pernah buat. Tak mungkin ada lagi jalan.”
                                          
STOP. Berhentilah bersikap begitu. Ia hanya akan melemahkanmu.

Berbuat begitu hanya akan menjauhkan kita daripada Allah sedang Allah itu sentiasa mendekati kita.

Allah yang ‘berusaha’, tetapi kita pula sebaliknya?

“Sedang Allah mengajak kepada jannah(syurga) dan keampunan dengan izin-Nya.” maksud firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 122.

Allah sentiasa inginkan manusia kembali kepada-Nya dan merebut syurga-Nya. Dia tidak sediakan syurga itu melainkan untuk hadiahkan kasih-Nya kepada kita.

Perhatikanlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada kegembiraan seorang yang mandul ketika mendapatkan anak, kegembiraan seorang yang tersesat ketika ditemukan kembali dan kegembiraan orang yang haus ketika ada orang yang ingin memberinya air minum.”

Lihatlah, Allah terlalu gembira untuk menyambut kita, lalu layakkah kita untuk terus berdukacita dan berputus asa?

Tidak. Tidak pantas sama sekali.

Ayuh, mari kembali kepada Pemilik jiwa ini.

Ke marilah kerana Rabbmu sentiasa menunggumu !